Al Quran

Kitab terulung wahyu yang Esa

Bulan Ramadhan

Penghulu segala bulan.

Solat

Solat itu mencegah kemungkaran.

Mensucikan Hati

Mensucikan hati dengan beramal dengan kebaikan.

Rabu, 2 April 2014

Perihal Membaca Al Quran

ADAB MEMBACA AL-QURAN

Di antara adab membaca Al-quran ialah Disunatkan membaca Al-Quran dalam keadaan berwudhuk dan dalam keadaan bersih kerana yang di baca adalah ayat-ayat Allah. Tangan kanan hendaklah digunakan untuk mengambil kitab ini, manakala menggunakan kedua-dua belah tangan semasa memegang Al-Quran. Selain itu, disunatkan membaca Al-Quran di tempat yang bersih, seperti di rumah, surau, musollah dan tempat lain yang dianggap bersih. Tempat yang paling utama adalah di dalam masjid. Disunatkan juga untuk menghadap ke arah Qiblat ketika membacanya. Bacaan hendaklah khusyu' dan tenang.  Mulut hendaklah bersih, tidak berisi makanan. Sebaiknya sebelum membaca Al-Quran, mulut dan gigi dibersihkan terlebih dahulu.  

Sebelum membaca Al-Quran, disunatkan membaca ta'awwudz, iaitu meminta perlindungan Allah dari gangguan syaitan yang direjam. Doa bagi menerangkan hati juga boleh dibaca sebelum atau selepas membaca ta'awwudz. Disunatkan membaca Al-Quran dengan tartil, iaitu membaca dengan perlahan-lahan dan tenang. Bagi yang memahami maksud ayat-ayat Al-Quran, disunatkan membacanya dengan penuh perhatian dan pengertian tentang ayat-ayat yang di baca. Disunatkan membaca Al-Quran dengan suara yang merdu dan bagus bagi menambah keindahan bacaan tersebut. Seelok-eloknya, ketika membaca Al-Quran, pembacaan hendaklah sehingga tamat tanpa ada diputuskan kerana ingin berbual-bual, ketawa dan bermain-main.Kesucian Al-Quran hendaklah di jaga.

Allah berfirman: 

“Itulah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh keberkatan supaya mereka memperhatikan keterangan-keterangannya dan supaya orang-orang yang mengerti dapat memikirkan.” (shad:29)



MEMBACA AL-QURAN DENGAN TARTIL

Untuk memudahkan meneliti dan memahami makna dan maksud Al-quran, cubakan diri anda membaca Al-quran dengan tartil; iaitu memperelok bacaannya, tidak terburu-buru sehingga kurang jelas dan tidak teratur. Tergopoh-gopoh dan terburu-buru di dalam membaca dan tidak memerhatikan tartil sehingga tidak jelas dan kurang terang di dengar orang.

Firman Allah: 
“Dan perelokkanlah bacaan Al-quran seelok-eloknya.”

Ummi Salamah (isteri nabi) dan para sahabat yang lain pernah mensifatkan bacaan Rasulullah s.a.w., kata mereka: Rasulullah s.a.w. membaca Al_quran dengan tartil yang baik, disebutkan huruf-huruf Al-quran itu satu persatu.

Berkata Nabi ‘alaihis-shalatu was-salam: Dikatakan kepada pembaca Al-quran: Bacalah Al-quran itu dengan terang dan elok, sebagaimana engkau memperelok bacaannya di dunia dahulu, maka sesungguhnya kedudukanmu ditentukan ketika ayat yang terakhir engkau membacanya.”



MEMBACA AL QURAN DENGAN BERLAGU

Membaca Al-quran dengan berlagu itu adalah sangat dianjurkan, kerana yang demikian itu akan membantu menimbulkan kesedaran di dalam hati, berkhusyu’ dan berhiba, dan menarik minat untuk mendengar kepada bacaan Al-quran.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: 
“Perelok bacaan Al-quran dengan suaramu.”

Sabdanya lagi: 
“Siapa yang tidak memperelok bacaan Al-quran(dengan suaranya) maka ia bukanlah golongan dari kami.”


Perihal Puasa

KELEBIHAN BULAN RAMADHAN


Mengenai kelebihan bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan dan hari Jumaat ke hari Jumaat, dan satu sembahyang ke sembahyang yang lain menjadi penebus dosa di antara keduanya, selama dijauhi segala dosa besar.”

Bersabda Rasulullah s.a.w. mengenai bulan Ramadhan:

“Bulan Ramadhan itu ialah bulan kesabaran, dan ganjaran sabaran ialah masuk syurga”

Sabdanya lagi:

“Mulanya (bulan Ramadhan) rahmat, tengahnya pengampunan, dan akhirnya merdeka dari api neraka.”

Sesungguhnya Allah Ta’ala kerap memerhatikan kaum Muslimin pada malam pertama dari bulan Ramadhan. Siapa yang mendapat perhatian Allah Ta’ala nescaya tidak disiksaNya. Dan seterusnya Dia mengampunkan mereka pada malam akhir dari bulan Ramadhan.

Berkata Jibril a.s. kepada Nabi s.a.w.:

“Siapa yang menemui bulan Ramadhan sedang ia tiada diampuni Allah Ta’ala, nescaya ia akan dijauhi Allah dari rahmatNya. Katakanlah amin! Mala Rasulullah s.a.w. berkata: Amin,”

Sebabnya begitu ialah, pada bulan Ramadhan lebih mudah di cetuskan sebab-sebab mendapat pengampunan dari bulan-bulan yang lain. Lantaran itu tiada seorang yang diharamkan memperoleh keampunan pada bulan itu, melainkan ia terlalu banyak memalingkan diri dari Allah Ta’ala, dan sangat berat pernentangannya, maka sebab itulah ia dijauhkan dan diusir dari pintu Allah.




TERTIB PUASA

Di antara tertib-tertib puasa yang terpenting ialah, memelihara lidah supaya tidak berdusta, mencaci orang, mencampuri urusan orang lain, mngekang mara dan telinga daripada mendengar atau melihat sesuatu yang tidak halal, yang kira-kira dianggap tifak ada kena-mengena dengan dirinya.

Seterusnya hendaklah ia menahan perutnya dari makan dan minum pada waktu siang (waktu berpuasa). Hendaklah juga ia mengelak menelan makanan yang haram, atau yang syubhat, terutamana sekali ketika waktu berbuka puasa, wajib bagi ia berusaha mencari makan yang halal untuk berbuka.

Seterusnya, setiap orang yang berpuasa itu harus memelihara semua anggotanya dari berbuat dosa terutamanya maksiat, dan menjauhkan dari segala urusan yang tidak mengenainya. Dengan itu, barulah sempurna dan bersih puasanya.

Sabda Rasulullah s.a.w.: 

“Puasa itu adalah pendinding, maka apabila seseorang kamu menepuh hari puasanya, hendaklah ia tiada bercakap kotor, tiada berlaku jahat, tiada menjahili sesuatu hukum; jika orang mencercanya, atau mengajak berkelahi, hendaklah ia mengatakan: Sesungguhnya aku ini sedang berpuasa.”

Di antara tertib-tertib puasa yang lain, iaitu hendaklah seorang yang berpuasa itu tidak terlalu banyak tidur di waktu siang, terlalu banyak makan di waktu malam. Hendaklah ia sederhana dalam kedua perkara tersebut, agar ia dapat merasakan pedihnya lapar dan dahaga, kelak dengan itu jiwanya boleh terdidik, syahwatnya boleh menjadi kurang dan hatinya akan bercahaya.

Seterusnya hendaklah ia meninggalkan segala kemewahan dalam serba-serbi, dan memperbanyakkan makanan dan minuman yang membuka selera dan yang lazat-lazat, sebagaimana yang telah kami huraikan sebelum ini. Sekurang-kurangnya ia tidak melebihi kebiasaanya pada bulan Ramadhan dalam menjamu selera, malah sama belaka dengan bulan-bulan yang lain juga.

Ketika menghadapi Ramadhan, para salaf rahmatullahi-‘alaihim sentiasa mengurangkan segala adat kebiasaan mereka sehari-hari, mengekang kehendak dan tuntutan syahwat. Di samping itu mereka banyak melebihkan amalan-amalan soleh.
Di antara tertibnya yang lain ialah, hendaklah tidak terlalu banyak melibatkan diri di dalam urusan dunia pada bulan Ramadhan. Tetapi hendaklah ia menumpukan dirinya untuk beribadat serta berzikir kepada Allah sebanyak-banyak dan seboleh-bolehnya,. Tidak mengusahalam sesuatu dari urusan dunia, melainkan yang perlu untuk dirinya dan orang-orang dalam tanggungannya, seperti anak-isteri dan sebagainya.

Di antara yang sunnat bagi orang yang berpuasa ialan menyegerakan berbuka puasa. Sebaik-baiknya dimulakan dengan buah kurma, jika tiada, deimulakan saja dengan air. Nabis s.a.w. berbuka dahulu sebelum menunaikan sembahyang Mahgrib.  Baginda bersabda:

“Umatku tetap akan berada dalam kebaikkan, selama mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan makan sahur(makan malam)”



SEMBAHYANG TARAWIH

Sembahyang yang dikerjakan pada setiap malam Ramadhan adalah sunnat yang harus dipatuh. Para salaf malam rahmatullahi-‘alaihim membaca Al-Quran dari awal hingga akhir di dalam sembahyang tarawih. Setiap malam dibacanya sekadar yang termampu sampai mereka khatamkan Al-quran itu pada malam-malam yang tertentu di akhir bulan Ramadhan. Siapa yang boleh mengikut tauladan ini, buatlah dan jangan dicuaikan, kerana segala kebajikan yang dibuat dalam bulan ini adalah besar pahalanya.

Firman Allah Ta’ala: 

“Dan setiap perbuatan baik yang kamu sediakan untuk diri kamu terlebih dahulu, akan kamu dapati ia di sisi Allah.” (Al-Baqarah: 110)

Barangsiapa yang tiada berpeluang untuk mengikut jejak langkah para salaf dan amalannya, maka hendaklah berhati-hati, jangan sampai terlalu meringan-ringankan sembahyang tarawih itu, sebagaimana yang sering dilakukan oleh kebanyakkan orang yang jahil, sehingga ada setengah mereka mencuaikan sesuatu rukun yang wajib di dalam sembahyang itu, seperti meninggalkan tuma’ninah pada  ruku’ dan sujud oleh kerana terlalu cepat, ataupun tidak memerhatikan bacaan Al-Fatihah menurut petunjuk yang harus dilakukan, kerana inginkan segera selesai.

Sembahyang tarawih yang sempurna, sama seperti sembahyang-sembahyang fardhu lainnya, di mana harus ditunaikan dengan baik berdirinya, bacaannya, ruku’ dan sujudnya, khusyu’ dan khudhu’nya, dan juga terhadap semua rukun-rukun yang lain serta tertib-tertibnya. Jangan sekali-kali membiarkan syaitan itu merajalela atas dirimu, kerana syaitan tidak ada kuasa samasekali atas orang-orang yang benar-benar beriman, dan orang-orang yang bertawakkal sepenuhnya kepada Tuhan. Hendakah golongkan dirimu ke dalam kumpulan jamaah ini. Syaitan hanya boleh mempengaruhi dan berkuasa ke atas orang-orang yang mematuhinya, dan kepada Allah Ta’ala mereka menyekutukan, maka janganlah masukkan dirimu ke dalam kumpulan ini.



KEUTAMAAN SEPULUH HARI TERAKHIR DAN MALAM LAILATUR-QADR

Adalah diriwayatkan, bahwa Nabi ‘alaihin-shalatu was-salam sering menggandakan amal dalam bulan Ramadhan lebih dari bulan-bulan yang lain. Dan dalam masa sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan pula, baginda akan lebih rajin lagi beramal daripada seluruh bulan Ramadhan itu.

Nyatalah baginda melakukan yang demikian itu, kerana keutamaan sepuluh hari yang terakhir dari bulan Ramadhan itu dari lain-lainnya dari bulan itu. Baginda juga telah menganjurkan kita supaya mencari malam Lailatul-qadr pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari terakhir itu juga.


Tegasnya setiap mukmin harus berhati-hati menyediakan diri untuk mencari malam Lailatul-qadr itu pada setiap malam dari malam-malam bulan Ramadhan. Hendaklah bersedia awal-awal lagi untuk malam itu dengan meperbanyakkan amal soleh, kerana yang demikian itulah menjadi tujuan utamanya.

Perihal Sembahyang

HAKIKAT SEMBAHYANG LAHIR DAN BATIN

Ada dua hakikat bagi sembahyang iaitu hakikat lahir dan  hakikat batin. Sembahyang seseorang itu tidak akan dikira sempurna, melaikan dengan melaksanakan kedua-dua hakikat ini sekaligus.
Adapun hakikat lahir itu ialah: Berdiri, membaca , ruku’, sujud dan seumpama itu dari tugas-tugas sembahyang yang lahir.

Adapun hakikat batinnya ialah: Khusyu’, ikhlas dari hati, tulus, meneliti dan memahami makna-makna bacaan, tasbih dan seumpama itu dari tugas-tugas sembahyang yang batin.
Tugas sembahyang yang lahir dari bahagian badan dan anggota. Manakala tugas sembahyang yang batin, ialah bahagian hati dan rahsia kebatinannya. Yang kedua inilah tempat yang diperhatikan Allah terhadap setiap hambaNya, yakni hati dan rahsia dalam dirinya.



WAJIB MENYEMPURNAKAN KESUCIAN SEMBELUM SEMBAHYANG

Antara syarat memelihara sembahyang dan mendirikannya ialah menyempurnakan kesucian yang menyeluruh terhadap badan, pakaian, dan tempat sembahyang.

Sabda Rasulullah s.a.w: 
“Kesucuan itu adalah kunci sembahyang”

Dalam sebuah Hadis yang lain:
“Kesucian itu adalah separuh dari iman”

Diantaranya lagi, ialah meratakan wudhu’ itu ke merata anggotanya serta membuatnya tiga kali, tanpa waswas dalam kesucian dan sembahyang itu adalah dari hasutan syaitan yang mengelirukan orang-orang yang cetek ilmu dan lemah otaknya. Setengah salaf saleh telah berkata: Waswas itu ditimbulkan oleh kejahilan tentang perkara-perkara yang sunnat ataupun kebebalan dalam otak.

Adapun mazhab salaf dalam mengurus kesucian, ialah tertib yang terpuji dalam segala cara-caranya, sebab merekalah yang patut menjadi contoh dan tauladan. Memperbaharui wudhu’ bagi setiap sembahyang adalah sunnat, begitu pula dengan kekal berwudhu’ pada setiap waktu adalah dituntut, kerana yang demikian itu mengandungi berbagai manfaat.


Adalah diberitakan, bahawasanya Allah Ta’ala pernah berfirman kepada Musa a.s:

“Jika engkau ditimpa bencana, sedang engkau tiada bersuci(berwudhu’), maka janganlah engkau mencela melainkan dirimu sendiri.”



MENYEGERAKAN SEMBAHYANG PADA AWAL WAKTUNYA

Antara syarat memelihara sembahyang dan mendirikannya lagi ialah menyegerakan pelaksanaannya pada awal waktunya, kerana orang yang berbuat sedemikian akan memperoleh pahala yang besar. Yang demikian itu membuktikan kecintaan Allah terhadap umatnya, dan membuktikan juga tentang terburunya diri intuk mencari keredhaan Allah Ta’ala dan kasih-sayangNya.

Sabda Rasulullah s.a.w: 

“Sembahyang pada awal waktunya mendaoat keredhaan Allah, dan pada akhirnya mendapat keampunanNya. Dan selagi seseorang hamba itu akan mengerjakan sembahnyang, dan tiada meluputkannya dari waktunya, dan tiada melambatkannya pula dari awal waktunya, adalah lebih utama baginya daripada mdunia dan seisinya”



HARAM MELEWATKAN SEMBAHYANG DARI WAKTUNYA


Adapun melewatkan sembahyang sehingga luput waktunya, ataupun mengundurkan sebahagian daripadanya di luar waktunya, adalah haram dan berdosa. Azan dan iqamat sebelum sembahyang tidak harus ditinggalkan, kerana keduanya adalah dihitung sebagai syiar-syiar sembahyang. Azan dan iqamat juga akan mengusir syaitan dari orang yang akan bersembahyang, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: 
“Apabila diseru untuk sembahyang, syaitan akan lari mengundurkan diri.”