Al Quran

Kitab terulung wahyu yang Esa

Bulan Ramadhan

Penghulu segala bulan.

Solat

Solat itu mencegah kemungkaran.

Mensucikan Hati

Mensucikan hati dengan beramal dengan kebaikan.

Selasa, 11 Mac 2014

Mensucikan Hati

Hendaklah anda menumpukan perhatian anda kepada hati dan batin anda.

Rasulullah s.a.w telah bersabda :
"Sesungguhnya Allah tiada melihat kepada rupa kamu dan amalan kamu,
tetapi Dia melihat kepada batil dan niat kamu."

Oleh itu, hendaklah anda membenarkan ucapan anda dengan amalan dan membenarkan amalan dengan niat yang ikhlas serta membenarkan niat ikhlas dengan membersihkan hati dan meluruskan hati, kerana hati itu adalah asal dan punca segala perkara.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Ketahuilah bahawa dalam tubuh badan itu ada sepotong daging, kiranya ia elok, maka eloklah seluruh tubuh badan itu. Dan kiranya ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh badan pula. Ia itu adalah hati."

Lantaran itu wajib anda mengambil berat terhadap hati itu serta tumpukan segala perhatian untuk memperbaiki dan meluruskannya. Kerana hati itu mudah berbolak balik dan selalu kacau bilau.

Sabda Rasulullah s.a.w :
"Sesungguhnya hati itu lebih cepat berbolak baliknya dari makanan yang sedang mendidih di dalam periuk."

Rasulullah s.a.w sering berdoa :
"Wahai (Tuhan) yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamaMu."

Sabdanya lagi:
"Sesungguhnya hati itu terletak di antara dua jari dari jari-jari Tuhan. Jika Dia suka diluruskannya dan jika Dia suka dibengkokkannya."

Nabi s.a.w sendiri ketika bersumpah dan setelah baginda berusaha dalam sumpahnya , sering berdoa :
"Tidak,demi tuhan yang membolak balikkan hati."

Allah s.w.t berfirman menceritakan tentang Nabi Ibrahim a.s :
"Dan janganlah Engkau menghinakan aku pada hari kebangkitan. Iaitu hari yang tiada berguna hartabenda dan anak anak. Melainkan orang yang mendatangai Allah dengan hati yang bersih."
( Asy-Syu'ara': 87-89 )

Hendaklah berhati hati dengan sebaik baiknya, mudah mudahan Allah s.w.t merahmati anda agar anda menemui Allah kelak dalam keadaan hati yang bersih dari syirikdan nifaq. Suci dari bid'ah dan akhlak yang terkeji seperti menyombong diri nak riyak, seperti hasad dan tipudaya terhadap kaum muslimin dan seumpamanya. Mintalah pertolongan dari Allah serta bersabar, berusaha dan mengambil berat terhadap perkara perkara ini.

Ucapkanlah doa ini sesudah selesai menunaikan solat.
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau sesatkan hati kami, sesudah Engkau tunjuki kami (jalan yang benar) dan berilah kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau amat suka memberi."

Jangan biarkan hati itu keras dan lalai


Waspadalah, jangan bersikap keras hati dan bersikap keras sehingga apabila diberi nasihat tidak akan memberi kesan apa pun. Hati tidak akan merasa hiba lagi, bila disebutkan maut dan tidak lagi gentar mendengar janji janji balasan dari Allah dan ancamanNya mengenai hal ehwal akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w :
“Yang amat jauh kepada Allah ta’ala ialah hati yang keras.”

Sabdanya lagi :
“Empat perkara menjadi tanda kejahatan iaitu: hati yang keras, mata yang beku, sentiasa berkira kira dan panjang harapan.”

Awasilah diri dari empat sifat yang merbahaya tersebut!

Dalam sebuah hadis yang lain, Nabi bersabda:
“Ingatlah bahawa Allah tiada akan menerima doa dari hati yang lalai.”

Sifat lalai itu lain dan tidak sama maksud degan sifat keras hati. Sifat ini adalah tercela dan mempunyai bahaya yang besar. Hati yang lalai ialah hati yang tidak tahu untung dan tidak sedar ketika diingatkan dengan berbagai bagai petunjuk dari perintah perintah Allah s.w.t dan laranganNya. Ia tidak akan mengendahkan sama sekali nasihat nasihat itu kerana hatinya telah dibelenggu oleh sifat lalai dan lupa disebabkan terlalu banyak urusan pekerjaan dan permainan dari bermacam macam keindahan dunia dan peluasan hawa nafsu.

Allah s.w.t berfirman kepada RasulNya s.a.w :
"Ingatlah Tuhan di hatimu dalam keadaan rendah hati dan takut, dan bukan dengan suara keras di waktu pagi dan petang, dan jangalah engkau tergolong ke dalam kumpulan orang orang yang lalai atau mengikut jejak langkah mereka."
( Al- A'raf: 205 )

Seseorang itu dikira lalai juga apabila tidak membaca al Quran atau mendengarnya, akan tetapi tiada merenungkan maknanya atau mendalami maksudnya, tiada menuruti perintah dan larangan, tiada menuruti nasihat dan teguran yang terkandung di dalam ayat ayatnya.

Demikian pula hukumnya sama dengan hadis Rasulullah s.a.w serta ucapan para Salaf salleh redhwanullahi 'alaihim ajmain. Seseorang itu dikira lalai apabila tiada mengingati mati dan tiada memandang berat tentang hal ehwal yang bakal berlaku sesudah mati, sama ada tergolong dalam golongan ahli sa'adiah (orang orang yang berbahagia) atau golongan ahli syaqawah (orang orang yang celaka) yang tidak pernah mahu memikirkan semua itu.

Seseorang itu juga dikira lalai jika tidak mendampingi para alim ulama yang sentiasa dapat mengingatkan tentang Allah, tentang kebaikan dan kebenaran. Dunia ini tidak akan luput dari alim ulama. In shaa Allah. Meskipun kerosakan zaman telah umum berlaku dimana mana. Mereka itu telah membelakangi Tuhan mereka serta tiada menegakkan yang hak. Hanya orang orang yang terselamat dari bencana ini sikit sekali bilangannya.

Sabda Rasulullah s.a.w :
"Sekumpulan dari umatku terus berdiri teguh atas kebenaran, tiada akan membahayakan mereka sesiapa yang menentangnya, sehinggalah tiba ketentuan Allah s.w.t."


Sebaik baik hati adalah yang bersih 


Ketahuilah, sebaik baik hati adalah hati yang bersih, tegas dan lunak. Bersih dalam keyakinan, tegas dalam urusan agama dan lunak dalam pergaulan dengan kaum muslimin. Yang dimaksudkan dengan keyakinan adalah keteguhan dan penguasaan iman di dalam hati sehingga menimbulkan ketenangan. Sebagaimana yang dipohon oleh Nabi Ibrahim a.s kepada Allah s.w.t :
"Allah berkata kepada Nabi Ibrahim: Apakah engkau tidak percaya? Jawab Nabi Ibrahim: Bahkan, agar hatiku menjadi tenang."
(Al- Baqarah: 260)

Demikianlah Allah menerangkan orang orang yang teguh dan mendalam ilmunya dari hamba hambaNya yang mukmin. Ayuh tingkatkan amal dan kebaikan, mudah mudahan kita semua peroleh manfaat atas kebaikan yang dilaksanakan.